Tersangkut disebalik ‘sempadan halimunan’

Lepas bertahun bekerja, aku mula sedar yang aku mulai jauh dari kemahuan sebenar diri aku. Sebab semua benda dalam dunia ni perlukan duit, dan untuk dapat duit, perlu berniaga. Kalau nak stabil, perlu bekerja. Jadinya pilihan aku bekerja buat aku semakin melekap rapat dengan metrik yang sama dan berulang. Rutin harian aku sampai boleh dijangka dan difahami. Sebab hampir semua aspek dilakukan adalah sama, bangun pagi, mandi, bersesak di dalam trafik ke pejabat, mencari parkir yang masih kosong, mencari sarapan, buka komputer, semak email, balas email dan menjelang petang, ritma sama pun berulang.

Tak dinafikan ada je dalam hari-hari lain tu kita akan menempuh cabaran baru dan pengalaman baru, tapi rata-ratanya, rutin itu perlahan-lahan buat kita tak sedar yang kita sebenarnya mula mencipta sempadan halimunan.

Kita nampak apa yang kita mahukan, tapi nak melangkah keluar, susah, nak berhenti, takut. Aku percaya bukan aku sorang yang berasa macam ni. Mereka yang sudah berkahwin, atau sudah punya keluarga, ada komitment yang perlu dibayar, semua ini adalah sempadan halimunan kita semua? Ya kan?

Tapi jujur cakaplah, bukanlah aku bermaksud rutin ni buat aku rasa tak bersyukur. Sejujurnya aku masih bersyukur dengan peluang nikmat bekerjaya, kestabilan, dikurniakan majikan yang ambil berat, teman sepejabat yang kini rapat dan menjadi kawan baik. Takde apa yang aku rasa rugi. Cumanya yelah, sebagai manusia, kita pasti ada cita-cita besar atau kemahuan diluar sempadan halimunan tu untuk mencuba atau meneroka sesuatu yang kita mahukan.

Kalau yang dah berkahwin dah ada anak, pasti ada yang nak duduk di rumah, berniaga nasi lemak, tapi sebab ada komitmen bayar kereta, yuran sekolah anak, pinjaman rumah, semua tu jadi terbantut. Semua ini risiko besar dan perlukan tekad dan azam yang kuat untuk kita keluar dari zon tu.

Sekarang ini, sempadan halimunan aku dah bermula jadi sangkar halimunan. Aku rasa terperuk seperti seekor burung tekukur dalam sangkar, lupa bagaimana nak terbang, makan dan minum aku ada yang tuangkan, najis dan sangkar dibersihkan, tapi aku tak dapat hidup seperti seekor tekukur yang sepatutnya keluar dan terbang bebas. Dan sangkar halimunan ni makin lama makin sunyi, awal-awal dimasukkan ke dalam seperti seekor burung, kita rasa nak rempuh dan cuba terbang keluar, tapi tak berdaya melepaskan diri, akhirnya jadi malas dan duduk bertenggek mengulik dedak yang diberikan pemiliknya.

Manakan tidak, kalau aku tutup mata, aku yakin aku boleh hafal setiap bonggol dan selekoh walaupun mata tak pandang depan, kalau memandu di lebuhraya, semua papan-papan iklan aku dah hafal tagline diorang sampai aku jadi geram and muak (bluek!).

Kesesakan demi kesesakan, sampai tagline di papan iklan pun dah boleh hafal, korang pun rasa benda yang sama kan?

Sekarang ni, dalam aku mula meniti umur 37 tahun pada bulan Julai nanti, aku mula sedar yang aku kena cuba keluar dari sangkar selesa ni. Aku patut jadi tekukur liar! Aku tahu aku tak perlu takut dengan risiko meninggalkan keselesaan bekerjaya yang selama ni dicorakkan dengan rentak pantas dan sentiasa terhad. Masa sentiasa rasa tidak cukup. Aku nak ambil risiko lawan arus dan ubah cara berfikir yang kepuasan hidup ni bukan semata-mata pada jumlah gaji di hujung bulan, kereta apa kita bawa dan jenama apa dipakai di badan. Tapi lebih kepada aku nak hidup ni kepuasan tu bersandarkan jumlah jarak, titisan peluh, putaran roda yang perlahan dan lopak-lopak selepas hujan. Biar orang kata aku buat kerja gile. Aku tak perlu hidup untuk buktikan kepada orang lain apa-apa, semua orang hidup hanya sekali dan orang yang patut kita gembirakan ialah diri kita sendiri. Mat saleh kata, hanya ada 2 orang patut kita gembirakan, diri kita waktu kecil dan diri kita ketika sudah tua dan tak berdaya nanti.

Jadinya 7 Julai 2026 nanti, aku tekad untuk mulakan Kayuhan Solo dari Paris ke Malaysia aku sendiri. Prioriti pertama aku ialah, mencari balik diri aku yang hilang tu. Sebab aku pernah berborak dengan seorang lelaki cina, dia dulunya bekas pengurus sebuah syarikat besar, dia sekarang dah memiliki bisnes sendiri, bisnesnya, baiki telefon.

Ada satu pesanan yang buat aku rasa tertampar, “you jangan terus nak terjun ke dalam bidang perniagaan. Buka bisnes pun akan bawa kita balik ke paradok asal (sangkar halimunan). Ada kedai belum tentu boleh buat kita berasa bebas, depan kedai memang luas takde pintu, tapi sebenarnya itu adalah besi penjara halimunan saya”, tambah dia lagi. “Jadi kalau you nak buat apa-apa dalam hidup, do what you like the most first“, sambung dia lagi.

apa yang you suka buat?“, disoalnya aku macam aku duduk di dalam kandang pesalah. Aku diam membisu, aku cuma boleh jawab, aku suka travel. Dia pesan lagi dan dia kata “kalau you suka travel, buat bisnes menerusi travelling and it’s ecosystem, you jadi Youtuber ke, jadi influencer ke, anything“. Panas, tajam dan menusuk ayat dia.

Impian yang Tergantung

Sekarang ni, mengimbas balik sekitar tiga bulan yang lepas, masa arwah mak aku masih ada di dunia ni, aku pernah meluahkan satu impian besar kat mak aku. Aku duduk di sebelah dia di kampung, aku perhati fisik dia yang kian uzur, lalu berbisik perlahan aku cakap pada dia yang aku nak jaga mak sampai mak betul-betul pulih. Aku dah lama sangat berkelana, duduk jauh dari mak. Aku nak berada di sisinya setiap hari memastikan dia kembali kuat dan sihat seperti dulu. Dan hanyalah selepas segala urusan itu kelak selesai, barulah aku akan meminta izin untuk kembali fokus pada impian aku yang seterusnya: mengembara melihat dunia.

Namun, rancangan manusia kerdil macam aku ni tumpas di tangan takdir. Aku cuma mampu merancang.

3 bulan lepas, mak dah banyak kali keluar masuk hospital. Dan tahun lepas, keadaan mak sangat menyedihkan, dia terlalu kurus, hilang selera makan, dan agak lewat untuk kami semua tahu yang rupanya mak ada masalah hormon (Hyperthyroidsm). Dia mula restless (sentiasa rasa tak selesa dan bahang), nak kata dia menopause, dia dah lama menopause. Setelah ujian demi ujian dibuat barulah sah masalah dia selama ni datang dari kalenjar yang paling kecil di leher manusia, yang buatkan mak aku merosot seteruknya. Hanya selepas setahun barulah nafsu makannya kembali memulih, berat badan dan diri dia yang dulunya ceria kembali seperti asalnya.

Dan selepas keadaan hyperthyroidsm dia dah terkawal, ujian seterusnya berlaku, mak dah dua kali ditahan di wad hospital akibat terjatuh ketika cuba berjalan untuk menguruskan diri sendiri. Langkah kaki dia lemah, tapi dia melawan untuk berdiri dan akhirnya jatuh tersungkur, menyebabkan dia mendarat pada bahagian muka. Impak kejatuhan itu meninggalkan kesan lebam yang membiru dan ngeri di sekitar soket mata, bibir dan pipinya. Namun, melihat kulitnya yang kebiruan itu, jiwanya aneh sekali – masih kekal ceria dan kuat. Sedikit sebanyak memberi aku harapan yang mak masih kuat dan aku masih diberikan masa untuk mengurus dia.

Waktu ni bulan puasa, mak mintak dimasakkan Lemak Pisang Muda, mundar mandir cari pisang muda nak bagi mak dapat apa dia nak. Lepas dia dapat, seloroh seronok tengok dia makan “Lemak Manis” dia kata.

Di antara bulan-bulan terakhir tu, hati kecil aku semakin kuat merasakan bahawa tahun ini, tahun 2026, bakal menjadi satu tahun yang mungkin aku takkan lupakan. Jauh di sudut hati aku, sesuatu yang besar mungkin akan berlaku tapi aku tak berapa pasti apa, tapi tekad aku tetap satu, kalaulah tahun ini adalah tahun terakhir aku dapat menatap wajah mak aku, merasai keramahan dan kehangatan kasih sayang seorang ibu, aku takkan lepaskan peluang ini.

Aku tetap bersyukur, majikan aku punya ihsan dan memberikan aku kebenaran untuk bekerja dari rumah selama tiga minggu untuk pulang menjaga mak selepas dia jatuh tersembam teruk haritu. Di masa menjaga mak di kampung, abah kerap bagitau yang mak dah banyak lupa menerusi telefon sebelum ni, tapi hanya pada momen bekerja dari rumah di kampung itu barulah semua berlaku di depan mata aku. Hati aku remuk bila mak betul-betul sudah mula lupa banyak perkara.

Banyak benda mudah dia dah lupa, contohnya hari, cara gunakan telefon bimbit, termasuklah cara nak hidupkan television. Aku boleh nampak wajah mak jadi risau sampai berulang kali dia ulang, “kenapa dengan dengan mak ni, mak banyak lupa”, rayunya.

Yang buatkan aku masih berasa ajaib, memori dan ingatan dia kuat tentang wajah orang sekeliling dan orang-orang yang pernah dia kenal. Mak masih mampu menyebut nama aku dengan betul dan jelas: Tanya adikku “Siapa ni mak?” “Celi!” jawabnya sambil senyum lebar. Aku terus menangis mengenangkan yang mak aku masih ingat aku dan bila dia bercerita tentang kisah sudara mara, semua cerita itu ‘hidup’, watak dan timingnya tepat. Tapi bila diminta belajar gunakan telefon, dia lupa macam mana nak menaip di papan kekunci malah kata laluan telefon dia.

Tiga Minggu Menjadi Chef Peribadi Mak Aku

Sewaktu aku bekerja dari kampung, aku pasangkan CCTV Baby Monitor dan aku belikan sekali peranti internet satelit Starlink. Bukan sebab jaringan telefon lemah tapi aku tahu aku kena selangkah ke depan untuk monitor mak aku lepas 3 minggu ni berakhir nanti. Di tiga minggu tu, aku seronok melihat mak kadang-kadang bersahaja menyanyi kecil walaupun muka dan bibirnya biru hampir 2 minggu. Dan keresahannya yang datang sekali-sekala amat mencuit hati bila dia mula lupa perkara-perkara kecil. Sebagai seorang anak yang mula sedar akan waktu yang berbaki, peluang tiga minggu yang ada ketika itu aku dakap sepenuhnya demi memenuhi segala kemahuannya. You’re my boss now mak.

Tugas aku bertukar 180 darjah. Kalau di KL, aku pantas dengan menaip sesuatu di komputer, tapi di kampung, aku lebih pantas mengurus mak, memandi, menukar lampin, memasak, mengemas dan membantu apa yang boleh dibantu. Mak aku kerap meminta makanan bermenukan masakan kampung, masakan yang sudah pastinya resipinya takkan semudahnya kita jumpa di mana-mana buku resipi atau restoran mewah. Bahannya mudah, cuma dipetik daripada kawasan sekeliling rumah, perisanya kena tepat, pedasnya tak boleh terlalu menyengat sebab perlu ikut citarasa mak aku.

Aku turuti segala permintaan mak aku, menjadi ‘chef peribadi’ buat seorang wanita bernama ibu. Aku sering terpana dan termenung melihat sinar kegembiraan yang terpancar pada wajahnya setiap kali dia menikmati masakan aku, meskipun kuantiti yang dijamahnya itu hanyalah sekecil suapan.

Segala ilmu aku di dapur ketika itu sebenarnya datang daripada memori yang masih tersimpan kemas sewaktu membesar dulu. Dari kejauhan di hadapan TV mak aku tengok aku dari jauh di atas katil hospitalnya, aku cergas, laju dan bersahaja memasak mengalahkan seorang perempuan di dapur dengan kudrat yang ada. Sampai dia kata, “senang, laju kau buat, mak dah tak kuat”, selorohnya. Ada kalanya aku pantas berlari keluar memetik pegaga, mencabut daun kari dan mencari batang serai yang sudah matang melintas di depan mak. Membawa aku kembali ke memori zaman kanak-kanak riang, sebelum aku menapak keluar meninggalkan sarang ke sekolah berasrama penuh, seterusnya ke peringkat universiti, dan akhirnya berkelana di KL.

Aku masih ingat pesan mak “kau kena duduk tolong mak kat dapur, nanti mak dah takde, siapa nak anyam ketupat, masak lauk pauk macam mak”, ayat yang makin menjadi amat bermakna untuk aku kenang diselangi memori bersila di anjung rumah berjam-jam terkulat – kulat belajar menganyam ketupat sate, ketupat bantal, ketupat ketam dan macam-macam lagi. Tiga minggu itu adalah mesin masa yang memulangkan aku kepada akar diri yang sebenar. Aku menyangka itu adalah permulaan kepada kesembuhannya.

Dalam tiga minggu ini, aku mencipta ilusi indah, menyangka kepulangan dari wad hospital itu dan keceriaan mak aku ketika aku di rumah adalah petanda bahawa peluang untuk dia sembuh semakin baik. Aku semakin sentimental, foto-foto candid dan bersahaja serta video mak, aku senyap-senyap rakam dan simpan dalam telefon.

Tetapi, kegembiraan itu rupanya angan singkat.

Isyarat yang Terhenti di Layar Skrin

Selepas tiga minggu tamat tempoh bekerja dari kampung, aku terpaksa melangkah meninggalkan mak di kampung setelah aidilfitri berakhir. Hati aku sejujurnya berat nak balik ke KL, walaupun aku tahu dia kini ditemani oleh ayah dan adik beradik secara bergilir. Berat sekali untuk mengangkat kaki meninggalkan rumah, namun tanggungjawab di pejabat mahu tidak mahu terpaksa aku diteruskan.

Aidilfitri terakhir bersama mak, aku pilih warna tema kami bertiga kali ni supaya kekal sedondon setiap tahun

Aku masih ingat dengan jelas, pada penghujung bulan Mac, waktu orang lain sedang mengharapkan bayaran bonus yang bakal tiba pada bulan Mei nanti, aku mengambil satu tindakan nekad yang dianggap kurang waras oleh sesetengah orang. Aku buka komputer di hari pertama aku tiba di pejabat setelah berfikir panjang sewaktu pulang ke KL jika aku perlu menulis surat peletakan jawatan. Puncanya mudah, aku ralat, dan aku mahu pulang dan fokus sepenuhnya pada mak aku.

Pandangan jarak jauh melalui skrin litar tertutup (CCTV) yang aku pasang di rumah kampung tidak lagi mampu menenangkan gelora di dada. Hati aku tersayat sepi setiap kali menstrim visual dari jauh ketika berada di meja pejabat. Kalau dulu-dulu, mak seorang yang kuat; tangang mak boleh angkat papan plywood sewaktu kerja di kilang membesarkan anak-anak enam orang. Juga erat menggenggam telefon bimbit demi menghantar pesanan WhatsApp setiap pagi untuk mengingatkan anak-anaknya tentang Tuhan, solat, dan luahan kerinduannya. Namun kali ini, semua itu tidak lagi sama. Genggamannya pada dunia semakin perlahan dan longgar. Tiada lagi pesanan WhatsApp pagi daripada mak. CCTV itu tak boleh menipu. Rumah kembali sunyi, dan kelemahan kudratnya makin jelas tak dapat disembunyikan lagi.

Aku masih ingat momen aku terduduk dan menangis di pejabat di hadapan teman baik aku Roy. Belum sempat dia berbuat apa-apa di pejabat selepas tiba di pejabat pada waktu pagi, aku panggil dia ke ruang mesyuarat dan meluahkan bahawa aku nekad untuk melepaskan segala galas kerjaya ini. Notis pemberhentian kerja selama tiga bulan mula berkuat kuasa pada hari itu, meskipun ramai yang menasihati agar aku menunggu sedikit masa lagi dan jangan terlalu mengikutkan emosi. Namun bagi aku, baki waktu itu tidak boleh dirunding lagi. Sebagai seorang anak, mak aku hanya ada satu di dunia ini, tiada duanya dan mungkin inilah peluang terakhir untuk aku berbudi kepada insan yang telah mengorbankan seluruh hidupnya demi membesarkan aku. Roy menyokong aku dan cuba menenangkan aku sambil menghulurkan tisu. Aku berulang kali ucap “I’m sorry Roy, I’ll be leaving you guys, and I’m firm about it.

Setelah satu setengah bulan sejak notis berhenti kerja diserahkan, takdir menguji lagi. Mak aku jatuh buat kali kedua, dan kali ini betul-betul di pintu kamar mandi sehingga menyebabkan tulang pehanya patah.

Meruntun hancur hati aku melihat dari CCTV mak aku tersiksa menanggung kesakitan yang amat sangat sewaktu menuggu ambulan tiba. Di hospital, setelah sekian lama terbaring, belakang badannya melepuh dan mengalami lelasan akibat terlalu lama terlantar di katil hospital akibat bed sore. Mak sentiasa kelihatan resah, dimarah anak-anaknya dia mahu balik ke rumah. Di mata dia ketika aku menemani di hospital, setiap 5 minit dia akan ulang dan melihat dalam ke mata aku sambil berkata jom kita pulang. Aku tahu mak cuba mengharapkan bantuan dari aku untuk berunding dengan doktor di hospital untuk membenarkan dia pulang. Namun aku tak lakukan perkara tersebut, aku hanya mampu menenangkan mak aku supaya bertenang dan tunggu sehingga doktor membenarkan dia pulang. Di hujung katil hospital yang dingin itu, kaki mak sebenarnya digantung dan ditarik oleh beban besi seberat tiga kilogram untuk memperbetulkan semula kedudukan tulang kakinya tapi dia tidak faham. Kadang kala dia lupa keberadaan dia di hospital, dia ingatkan dia sebenarnya di rumah, luluh hati aku.

Selepas enam hari yang panjang berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kluang, mak aku akhirnya dibenarkan keluar dari hospital. Dan minggu itulah yang perlahan-lahan membawa kami daripada fasa berita gembira kepada sebuah takdir yang duka.

Pada hari pertama mak tiba di rumah, dia kelihatan selesa di atas katilnya hospital di rumahnya sendiri. Namun, aku mula menyedari sesuatu yang janggal melalui pemerhatian aku; matanya kerap meliar melihat ke arah kiri dan kanan seolah-olah sedang memandang “sesuatu”, walaupun ketika itu tiada sesiapa di ruang tersebut. Hari-hari berikutnya, aku dimaklumkan oleh ayah bahawa mak kelihatan seperti sedang memulih. Dia dah boleh dimandikan walaupun terpaksa diangkat oleh dua orang dewasa menggunakan teknik yang diajar oleh pihak hospital untuk dialihkan ke kerusi roda. Namun di sebalik perkembangan itu, dia semakin perlahan. Mak jadi sangat diam dan tidak lagi banyak bersuara, jumlah makannya juga semakin sedikit, amat pelik.

Keadaan mula diselubungi panik apabila ubat-ubatan yang dibekalkan oleh hospital tidak lagi mampu ditelan oleh mak. Kami bertungkus-lumus mengatur jenis ubat dan memahami cara agar ubatnya tidak diabaikan, sehinggakan terpaksa mempelajari ubat mana yang boleh dihancurkan dan diberikan bersama makanan dan mencampurkannya ke dalam bubur nasi sebagai pendorong untuk dia makan kedua-duanya.

Masuk hari keempat, aku dah balik ke KL, tapi tak banyak lagi aktiviti dan pergerakan yang tertangkap pada lensa kamera CCTV. Aku yang berada di kejauhan di pejabat Kuala Lumpur hanya mampu menonton dari skrin telefon, menstrim visual yang sunyi itu sambil mendapatkan status terkini daripada ayah aku menerusi panggilan – panggilan telefon.

“Dah lima hari mak tak buang air besar,” keluh ayahku di talian pada hari itu.

Mendengarkan itu, aku di pejabat terus bergegas keluar mencari buah-buahan seperti prun, kiwi, dan ciku. Aku mahu bawa pulang buah-buahan itu untuk membantu melawaskan pencernaannya. Aku dah merancang dalam hati, sesudah sahaja jarum jam menginjak ke angka enam petang nanti, aku akan terus drive balik ke Johor.

Tapi belum sempat jam berganjak ke angka enam, belum sempat buah-buahan itu sampai ke tangan mak aku, satu panggilan daripada adik bongsu merentap seluruh kewarasan aku. “Kenapa dengan mak tu???!!!”, suaranya panik. Mak dikabarkan sedang tenat. Di skrin CCTV, abang dan ayah aku kelihatan sedang mundar-mandir dalam cemas, menunggu bantuan ambulans tiba di rumah. Tubuh mak mulai kaku.

Paparan CCTV sewaktu aku sedang laju di lebuhraya ke Johor dan mak sedang tenat

Waktu itu, dunia aku seakan berhenti berputar.

Pemanduan Panjang di Meredah Trafik Sesak, Hujan yang Lebat dan Air Mata

Aku terus bergegas meninggalkan pejabat tanpa menoleh lagi. Aku hanya sempat beritahu rakan aku, Diana yang mak aku tenat. Tiada siapa yang tahu betapa hancurnya hati aku ketika itu. Buah-buahan yang baru dibeli segera dibawa bersama ke dalam kenderaan bersama beg kerja aku.

Ironinya, cuaca hari itu seolah-olah mengerti duka yang bakal melanda, langit petang itu tumpah membawa hujan yang selebat-lebatnya. Jalan raya mula sesak walapun jam baru menunjukkan jam dua petang, dan trafik bergerak sangat perlahan dari Sungai Besi ke Melaka. Di dalam kesesakan di dalam perjalanan yang menyiksa jiwa itu, tumpuan aku berbelah bagi; mata aku kadang ditala pada jalan raya, namun setiap beberapa minit, jari aku pantas membuka aplikasi CCTV menerusi telefon bimbit untuk melihat keadaan mak aku.

Melalui skrin kecil itu, aku menyaksikan sekumpulan paramedik dan sebuah ambulans tiba di hadapan rumah. Beberapa ketika kemudian, mereka perlahan-lahan mengusung mak dan meninggalkan perkarangan rumah. Selepas kenderaan itu berlalu, skrin itu bertukar menjadi sangat sepi. Sunyi yang amat membimbangkan.

Selang 30 minit kemudian, telefon aku berdering lagi. Kakak ipar memaklumkan bahawa keadaan mak kini sudah teramat kritikal.

Dada aku tersentak, hancur semahunya. Aku masih jauh, masih belum melepasi Negeri Sembilan dan melaka akibat faktor cuaca buruk dan kekangan trafik. Jiwa aku menjerit mahu terbang terus ke sisinya, namun akal waras memaksa aku untuk tidak terburu-buru mengikut emosi dalam pemanduan. Aku tidak boleh merisikokan nyawa sendiri hanya kerana mengejar waktu. Di dalam tangisan yang disembunyikan di sebalik bunyi deruan hujan pada cermin kereta, aku gagahkan juga semangat untuk terus memandu pulang menuju ke Hospital Kluang.

Aku akhirnya tiba di perkarangan hospital menjelang jam enam petang. Di celah-celah kesibukan hospital, aku mencuri-curi masuk ke dalam ruangan zon kecemasan yang dikawal ketat. Sebaik melangkah masuk, luluh seluruh sendi aku melihat mak sekujur kaku di atas katil. Tubuhnya kini dipenuhi rantaian wayar dan pelbagai alatan perubatan yang dipasang semata-mata untuk menstabilkan jantungnya.

Mata mak tertutup rapat, namun di kelopak matanya, kelihatan takungan genangan air mata. Mak telah ditidurkan, diletakkan di bawah bantuan mesin pernafasan dan sokongan hayat, corak rentak jantungnya aku lihat perlahan-lahan sambil air mata aku tumpah dari genangan, aku tahu maksud warna lampu tu, isyarat ritma jantungnya amat lemah dan kucar kacir.

Aku mendekatinya, lalu aku kucup dahi sosok yang paling aku cintai itu sedalam-dalamnya. Sambil mengesat titisan air matanya yang bergenang di sudut kelopak mata, aku berbisik perlahan di telinganya: “Celi ada ni mak, Celi dah balik… Mak….”

Di luar ruangan, abang aku mula kelihatan mundar-mandir dalam keresahan yang amat sangat. Ayah yang rupanya tak mengikuti ambulance dan menunggu di rumah pula dikhabarkan sudah mula hilang arah. Keadaan menjadi semakin rumit apabila pihak hospital meminta kebenaran daripada kami untuk memindahkan mak ke Hospital Batu Pahat bagi menjalani imbasan CT (CT scan) pada bahagian kepalanya, memandangkan mesin di Hospital Kluang ketika itu rosak dan dalam proses pembaikan. Satu perjalanan berisiko dan jauh, hampir 80KM.

Malam itu, kami semua yang masih berada di dalam trauma dan terkejut berkumpul di rumah keluarga. Suasana rumah terasa sangat asing dan dingin. Di satu sudut ruang tamu, dengan tangan yang menggigil menahan gelora hiba, aku menghantar satu pesanan ringkas kepada adik bongsu aku:

“Balik Su…”

Mesej pendek itu dihantar bersama air mata yang tumpah, seolah-olah aku sudah tahu, bahawa waktu untuk kami menjadi sebuah keluarga yang lengkap tidak akan lama lagi.

Panggilan Telefon yang Merentap Dunia

Sepuluh jam berikutnya terasa seperti sebuah keabadian yang tidak berpenghujung. Kami semua berkumpul di rumah dalam suasana yang sangat sepi, masing-masing melemparkan pandangan kosong, menantikan khabar daripada pihak hospital dengan dada yang berombak cemas, ayahku di dapur tidak menjamah apapun walau di pujuk, jiwanya celaru.

Keesokan paginya, aku rancang nak bawa ayah ke hospital dan mahu singgah sebentar bersarapan memujuknya untuk makan walaupun sedikit kerana dia tidak makan dari semalam. Di pertengahan waktu sarapan itu, abang aku menerima panggilan daripada doktor yang merawat mak aku. Penjelasan doktor merentap sisa harapan yang kami ada. Mak disahkan mempunyai pendarahan yang sangat serius di dalam tempurung kepala, terdapat darah beku sebesar lima sentimeter yang hanya boleh dikeluarkan menerusi pembedahan invasif. Namun, pembedahan bukan lagi pilihan terbaik yang mereka ada, memandangkan risiko terlalu besar buat tubuhnya yang uzur, jantungnya kian lemah jelas doktor, di samping implikasi daripada tulang pehanya yang patah. Hanya penjagaan paliatif sahaja yang boleh dilakukan disamping sokongan mesen sokongan hayat.

Doktor berterus-terang, hayat mak aku saat itu hanyalah bersandarkan pada mesin sokongan semata-mata. Pihak hospital memutuskan untuk mengurangkan dos ubatan secara perlahan-lahan selepas beberapa jambagi melihat sama ada tubuh mak aku masih mampu memberikan sebarang refleks semula jadi sekiranya semua bantuan itu dihentikan.

Namun, takdir Tuhan mendahului segala ikhtiar manusia.

Kakak sulung aku yang setia menemani mak aku di dalam wad membuat satu panggilan telefon. Suaranya pecah di talian, membawa khabar yang paling kami takuti:

“Dik… mak dah tak ada.”

Dunia aku seakan runtuh dan gelap-gelita seketika. Aku bangkit meraung dan berlari mendapatkan ayah lalu memeluk tubuhnya seerat-eratnya. Aku sampaikan berita pemergian mak aku dalam jeritan pilu. Jiwa aku terus kosong, hilang arah, tidak tahu ke mana harus aku bawa kaki ini melangkah. Semua yang ada di rumah terkejut melihat aku melompat, berlari dan mencari ayah aku. Akhirnya, aku berlari masuk ke dalam kamar tidur mak aku. Di atas hamparan tilamnya, di ruang yang masih berbaki bau harumannya, aku rebah dan menangis semahunya. Malam itu, bilik beradu mak menjadi saksi runtuhnya benteng ego seorang anak lelaki, di saat seluruh ahli keluarga yang lain hanyut dalam lautan duka yang sama, meratapi kehilangan sosok seorang ibu yang tiada galang gantinya.

Pengakhiran yang Indah dan Pusara di Sisi Anak

Kami kemudiannya bergegas kembali ke hospital, menggagahi diri melawan realiti kesedihan demi memfokuskan seluruh tenaga untuk menguruskan jenazah mak aku. Sebaik tiba di wad, aku melihat sekujur tubuh mak sudah sejuk dan kaku, terselimut rapi di sebalik tirai langsir rawatan. Suasana di dalam wad ketika itu sangat hening; semua orang terkejut dan terdiam seolah-olah kehilangan kata-kata atas apa yang mereka saksikan.

Namun, di sebalik duka yang sarat, Tuhan mempermudah segalanya. Urusan menuntut sehinggalah proses memandikan jenazah berjalan dengan teramat lancar pada malam itu. Kami semua — ayah, adik-beradik, saudara ipar duai, dan anak-anak saudara bersatu menyempurnakan khidmat terakhir buat mak.

Apabila kenderaan jenazah membawa pulang mak ke rumah, jiran tetangga di kampung dah mula memenuhi ruang tamu. Mereka hadir bersama doa yang tidak putus-putus untuk kesejahteraan roh mak aku. Malam itu terasa sangat panjang. Kami semua memilih untuk tidur di ruangan yang sama, menemani jasad kaku mak di bawah limpahan cahaya lampu yang terang, ikatan kafannya dibuka dan diselimuti kain batik dan tudung putih, ditemani alunan dan bacaan surah Yasin yang bergema sayu sehinggalah fajar Subuh menyingsing, dan pengumuman daripada pembesar suara masjid memecah sunyi pagi.

Sesudah Subuh, aku tergamam. Di hadapan mata, hampir ribuan manusia hadir menziarahi rumah kami. Jumlahnya ramai. Entah dari mana datangnya mereka semua, aku tidak tahu. Selain saudara-mara terdekat, wajah-wajah asing itu hadir dengan penuh rasa hiba.

Aku sedar, itulah rezeki terakhir mak aku. Di saat itu, timbul sekelumit rasa cemburu yang murni di dalam hati ini melihat betapa cantiknya pengakhiran hidup insan penyanyang ini. Dia pergi meninggalkan impak yang sangat mendalam di dalam hati segenap insan yang pernah mengenalinya. Wajah jenazah mak sangat bersih, malah terukir sekuntum senyuman yang tenang. “Seperti orang yang sedang tidur,” bisik tetamu yang hadir.

Setibanya di tanah perkuburan, aku dipanggil untuk melangkah masuk ke dalam liang lahad, membantu abang untuk menurunkan jasad mak aku ke liang lahad. Pada saat tangan ini menyambut jasadnya, hati aku menjadi kaku. Emosi aku tersentak, masih buntu dan cuba memproses hakikat bahawa sosok ini sudah tiada.

Di sebalik kekakuan itu, fikiran aku tiba-tiba melayang, mengimbau kembali kenangan empat tahun yang lalu. Pada tanah yang sama, tangan inilah juga — yang ketika itu dibaluti pakaian perlindungan diri (PPE) dan topeng muka berlapis — yang menurunkan jasad arwah abang kandung aku yang pergi menghadap Ilahi akibat jangkitan komplikasi virus COVID-19.

Kini, susunan takdir Tuhan kelihatan sangat indah dan teratur. Pusara mak terletak cantik, betul-betul berhampiran dengan kubur anaknya. Anehnya, jika aku ingat kembali, di kawasan itulah selalunya mak akan perlahan-lahan berjalan setiap kali kami datang menziarahi kubur abang dahulu. Rupanya, di titik itulah tempat istirehat selamanya buat mak di alam sana, kembali menyatu dengan anak yang dirinduinya.

Dilema 90 Hari dan Dua Kehilangan

Hari demi hari perlahan-lahan berlalu. Semua orang mula menerima takdir dengan hati yang pasrah dan kembali ke rumah serta rutin masing-masing. Rumah kampung kembali sepi. Namun aku, aku berdiri di situ dalam keadaan yang tergantung. Surat peletakan jawatan yang aku serahkan Mac lalu kini bertukar menjadi sebuah tanda tanya yang besar.

Akal mula berbisik dan mempersoalkan: “Patutkah aku batalkan sahaja peletakan jawatan ini? Bukan ke alasan utamaku untuk berhenti adalah demi menjaga mak aku, dan kini mak dah tiada?”

Baki notis di pejabat masih berbaki 45 hari. Waktu yang ada itu aku gunakan untuk duduk diam dan berfikir sedalam-dalamnya, menyelami setiap sudut ruang hati yang telah hancur. Akhirnya, sebuah kesedaran baharu muncul. Aku sedar, tahun ini, tahun 2026 bukan lagi tahun untuk aku berpatah balik ke belakang. Tahun ini adalah sebuah titik tolak yang Tuhan takdirkan untuk aku berhenti daripada metrik duniawi, demi memberi ruang kepada diri untuk berkabung (grieving) dan merawat jiwa yang lara akibat kehilangan yang teramat besar.

Ujian aku hadir berlapis-lapis, merentap baki kekuatan yang berbaki. Beberapa minggu sebelum mak menghembuskan nafasnya yang terakhir, aku terlebih dahulu diuji dengan kehilangan Adam, kucing kesayangan yang telah aku tatang dan sayangi selayaknya seperti seorang anak kandung selama 13 tahun. Kehilangan Adam yang disusuli pula dengan pemergian mengejut mak dalam jarak waktu yang sangat rapat, meninggalkan sebuah lohong kekosongan yang teramat dalam di dalam dada.

Jika aku kembali semula melangkah ke dalam pejabat korporat itu, di bawah silauan lampu kalimantang yang kaku, aku tahu aku hanya akan membunuh jiwa sendiri secara perlahan-lahan. Kesedihan ini tidak boleh dipendam, ia perlu disembuhkan. Malah, seolah-olah semuanya telah tersusun, baki 60 hari notis itu bukanlah sebuah pengakhiran, tetapi ia adalah detik perhitungan untuk aku mempersiapkan sebuah perjalanan yang radikal.

Kompas Takdir di Hari Jumaat

Jika aku lihat kembali helaian takdir, garis mula rancangan ini sebenarnya tertulis pada hari Jumaat yang penuh hiba itu. Pada waktu tengah hari itu, sebelum badai melanda, sewaktu mak sedang bertarung nyawa di kampung tanpa aku sedari. Di pejabat, aku masih sempat bergurau sendu bersama rakan sepejabat, Diana. Aku memintanya membantu aku memilih satu lokasi untuk bercuti pada Julai nanti, sekadar untuk melarikan diri seketika daripada kelelahan minda selepas menghantar surat berhenti kerja.

Sebelum jarum jam menginjak ke angka dua petang, aku sempat melayari internet, mencari-cari destinasi untuk percutian akan datang. Di celah-celah nama kota dunia yang tertera di skrin, jari ini terhenti pada satu nama. Cabutan yang terpilih oleh Diana adalah Paris. Tanpa berfikir panjang, aku terus menekan butang tempahan tiket.

Malah, selepas tempahan dibuat, aku sempat meluangkan sisa waktu berbual bersama seorang lagi teman pejabat yang kebetulan hari itu merupakan hari terakhirnya bekerja di situ. Kami tertawa kecil dan berswafoto bersama sebagai kenang-kenangan. Kami merayakan sebuah perpisahan korporat yang santai, langsung tidak menduga bahawa beberapa minit kemudian, satu mesej besar daripada adik bongsu akan tiba dan merentap seluruh kewarasan hidup aku. Paris yang ditempah secara rawak pada jam 2 petang itu, kini bertukar menjadi garis mula takdir baru aku Julai nanti.

Kini, selepas segalanya selesai dan rumah kembali sepi, aku terbaring lesu di dalam rumah. Aku memandang kosong ke arah siling, membiarkan fikiran melayang jauh. Di sudut ruang, mata aku tertancap pada sebuah basikal yang aku beli tempoh hari.

Serta-merta, memori tentang Paris, pesanan tiket pada hari Jumaat itu, dan kekosongan baki 60 hari notis di pejabat bersatu menjadi sebuah jawapan yang jelas. Bagiku laluan ke pejabat itu sepertinya telah tertutup, tetapi jalanan dunia sedang terbentang luas di hadapanku. Aku tidak akan membatalkan peletakan jawatan ini. Aku nekad untuk menukarkan sisa kedukaan ini menjadi sebuah perjalanan yang panjang : Kayuhan Solo dari Paris ke Malaysia.

Tanpa membuang masa, aku mencapai telefon bimbit. Aku menghantar satu pesanan ringkas kepada abang di kampung:

“Jua, tolong poskan kain batik mak ke yang warna merah tu

To Paris and Beyond, Mak”

Apabila bungkusan dari kampung itu tiba di Kuala Lumpur, tangan aku menggigil menyambutnya. Di dalamnya terlipat kemas sehelai kain batik peninggalan mak. Aku ambil kain itu, aku dakap ia seerat-eratnya ke dada, menghirup sisa bau wangi rumah kampung yang amat aku rindui, lalu aku kucup kain itu dengan air mata yang tumpah tanpa dapat ditahan lagi.

Aku sedar, melakukan pengembaraan merentas benua ini secara seorang diri akan menjadi teramat sukar buat aku. Lalu, aku mula menghantar mesej kepada Nabil, yang kini rasmi bertindak sebagai Project Manager untuk projek kayuhan ini. Aku katakan kepada Nabil, aku memerlukan bantuan dan kepakarannya untuk merancang segala urusan logistik kayuhan yang rumit ini. Jalanan di hadapan terlalu luas dan misteri, dan aku memerlukan sokongan untuk memastikan jentera dan projek ini bergerak ke landasan yang betul. Waktu juga semakin suntuk untuk misi besar sebegini.

Selesai berurusan, aku membawa kain batik mak ke ruang kerja. Dengan berpandukan pembaris dan kapur penanda, aku mula membuat ukuran dan lorekan di atas permukaan kain. Setiap garisan dibuat dengan penuh berhati-hati. Apabila mata gunting mula memotong kain tersebut, dada aku bergetar. Kain batik itu aku jahit dan gubah sendiri menjadi sebuah beg rangka tengah (center frame bag) pada basikal aku.

Beg kain batik itu bukan sekadar kelengkapan logistik; ia adalah identiti kayuhan aku. Ia adalah sebuah perisai keramat, secebis “rumah” yang ikut mengembara merentasi benua bersama-sama aku. Every time the road gets heavy — setiap kali laluan mendaki terasa berat dan pandangan aku mula tertunduk lesu di atas jalanan asing nanti — corak batik itulah yang akan menyapa mata aku. Ia seolah-olah mengalirkan semula kehangatan kasih sayang yang pernah mak balutkan ke tubuh aku suatu ketika dahulu.

Malam itu, selepas beg itu siap dipasang pada rangka basikal, aku mengambil gambar jentera tersebut. Di atas pemegang (handlebar) basikal, patung mainan red panda kegemaran Adam turut mendapat tempat kekalnya, “menumpang secara percuma” meredah tamparan angin di hadapan. Bersama dua “azimat” ini, aku memuat naik satu hantaran di Instagram Story dengan sebaris ayat yang ringkas namun sarat dengan tekad yang murni:

“To Paris and beyond, mak.”

Bersama hantaran itu, air mata aku mengalir deras membasahi pipi. Ia adalah air mata pelepasan, air mata rindu, dan air mata tanda berserah kepada takdir-Nya.

Kini, beberapa minggu telah berlalu dengan begitu pantas. Kayuhan latihan demi latihan dilakukan setiap hari bagi mempersiapkan fizikal yang bakal diuji hebat. Ketika naskhah penulisan ini sedang ditaip, kalendar di hadapan mata menunjukkan waktu yang kian suntuk. Aku hanya berbaki 16 hari sebelum tarikh rasmi aku berhenti kerja sepenuhnya daripada dunia korporat, dan hanya berbaki 23 hari sebelum tubuh ini melangkah masuk ke dalam pesawat, berlepas membawa impian menuju ke garis mula di Paris.

Aku memilih untuk melanggar kebiasaan dengan menunggang sebuah basikal paling murah dan paling asas yang boleh ditemui di pasaran. Tiada apa yang mewah pada jentera ini. Ia dibina sepenuhnya daripada komponen biasa yang boleh dibeli di rak kedai basikal biasa. Jentera kerdil ini adalah sebuah saksi hidup — bahawa jalanan yang bakal dilalui kelak tidak pernah peduli akan tanda harga pada alatan yang kita bawa. Yang dicari oleh jalanan bukanlah kemewahan besi, melainkan ketabahan sekeping hati.

Pengakhiran kembara ini bukanlah semata-mata untuk memecahkan rekod dunia atau meraih nama. Bagi diri yang kerdil ini, menunggang basikal merentasi benua bermakna menanggalkan setiap topeng kepalsuan diri. Ia adalah sebuah tuntutan untuk menjemput kembali ketenangan yang hilang — sebuah perjalanan demi kesembuhan jiwa dan keberhasilan hidup aku sendiri.

Aku mungkin tidak sempat membawa mak mengembara melihat dunia sewaktu dia masih bernyawa, namun bermula Julai ini, jasadnya mungkin telah bersemadi di sisi arwah abang di pusara kampung, tetapi jiwanya akan sentiasa hidup dalam setiap putaran roda aku. Malaysia adalah tempat di mana ego ini bakal ditundukkan sepenuhnya, dan di pusara kampung itulah, jalan pulang aku yang hakiki akan berakhir.

Mohon titipkan doa kalian dalam setiap putaran roda aku nanti.
Dan sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah ibuku Hajah Faezah Binti Ja’afar. Al – Fatihah

Langgan secara percuma penulisan babak seterusnya
masukkan email anda dan jadilah yang terawal!

Loading

Sokong Perjalanan Ini

Memandangkan ramai yang bertanya dan mahu menyumbang, setiap sumbangan anda amat membantu perjalanan projek kayuhan ini dan memastikan cerita dan penulisan akan terus mengalir.

Sokong dengan menderma melalui PayPal

Leave a Reply