Seusai meninggalkan pinggiran Melun, hembusan bayu pagi tidak membawa khabar gembira. Langit seakan sudah berjanji dengan bahang, dan angin dari arah barat enggan memihak kepada haluan kayuhanku. Keputusan terpaksa dibuat—rancangan meredah laluan dari Melun ke Sens terpaksa dilipat simpan. Ada keluhan nipis bergema di dada saat menyedari alam tidak selalunya menyebelahi kita, dan angan-angan kadang-kala harus beralah pada realiti.

Memunggah basikal menaiki tren regional dari Melun ke Sens

Selepas perbualan panjang bersama Nabil—menimbang jarak, kejamnya elevasi, dan kesukaran mencari ruang untuk berteduh—kami terpaksa akur. Keretapi serantau dari Melun, melintasi Sens, hingga ke Lyon menjadi jalan keluar. Perancis sedang bersiap sedia menyambut hiruk-pikuk Tour de France dan kemeriahan Hari Bastille. Membayangkan lautan manusia di jalanan membuatkan aku lebih mendambakan kesepian di dalam gerabak besi yang bergerak perlahan; membawa aku dan basikal yang kini sekadar menjadi peneman bisu.

Katanya antara gereja katolik tertua di dunia

Pencarian ruang menginap juga menuntut kewarasan. Di bangunan-bangunan tua yang sarat dengan seni sejarah ini, menyewa asrama di tingkat atas tanpa kemudahan lif ibarat mendera diri sendiri. Akhirnya, sebuah teratak kecil di tingkat bawah menjadi pilihan. Namun, sebelum kunci bertukar tangan, aku terdampar di sebuah bangku panjang di Sens. Di bawah saringan cahaya mentari dari celahan dedaun, tubuh yang lelah ini perlahan-lahan tewas. Rentetan video di skrin telefon terus berputar tanpa makna, sehinggalah bunyi hempasan telefon yang terlepas dari genggaman mengejutkan aku dari lena yang dibalut keletihan. Di celah kota asing ini, kesunyian terasa begitu pekat.

Dalam sisa waktu yang ada, aku membawa diri meneroka kota Sens. Memerhati keangkuhan senibina gereja Katolik lama dan berlabuh di tepian tasik, melihat unggas membelah air yang tenang. Tiba-tiba, lamunanku dipecahkan oleh satu sapaan lembut.

Unit yang aku sewa, lebarnya cuma sedepa dan memanjang dan melebar 40 kaki ke belakang

“Bonjour,” ucap seorang wanita berbasikal. Senyumannya ikhlas, seolah-olah meruntuhkan segala tembok stigma bahawa orang Perancis itu dingin dan tidak peramah. Dari situ, terjalin satu ikatan persahabatan yang tidak dirancang. Kami menghabiskan waktu di sebuah kedai serbaneka, menghirup kopi panas sambil mata memerhati warga tempatan yang ralit menggores tiket loteri—masing-masing mempertaruhkan sisa harapan pada sekeping kertas. Ada suatu kekosongan yang ironis pada pemandangan itu.

Tiba di unit Airbnb, urusan pertama yang menanti adalah mencuci pakaian. Namun, butang dan label bahasa asing di mesin basuh itu seakan sengaja menguji kesabaran. Basuhan yang sepatutnya selesai dalam tiga puluh minit, berlarutan hingga tiga jam lamanya. Dalam putaran dram mesin basuh itu, aku hanya mampu termenung, seolah-olah masa turut sama terperangkap dalam pusingan yang perlahan, meletihkan, dan tidak berkesudahan.

Esoknya, Lyon menanti, sebelum kayuhan diteruskan ke arah Geneva—laluan yang lebih landai, sedikit berbelas ihsan buat tubuh di bawah cuaca yang merenggut tenaga ini. Namun, pagi terakhir di Sens memahat satu memori yang akan terus hidup. Wanita yang baru kukenali semalam, hadir semata-mata untuk sebuah perpisahan.

Sejam terakhir kami dihabiskan dengan perbualan yang bersulam pertukaran cenderamata. Dia menghulurkan sebuah naskhah berbahasa Perancis, diselitkan bersama sepucuk surat puitis yang bercerita tentang erti sebuah ‘kehilangan’ dan bagaimana mahu menavigasi duka peninggalannya. Kata-katanya berat, menyentuh relung hati yang paling dalam. Sebagai balasan, aku hanya mampu menawarkan secawan kopi dan lencana sulaman bendera Johor dan Malaysia.

Wanita yang memecah kesunyian dan kini menjadi teman

Hadiah yang kecil, namun cukup untuk mengingatkan aku tentang satu hakikat pengembaraan: kita sentiasa bertemu dengan seseorang yang istimewa, hanya untuk merelakan mereka pergi di stesen yang seterusnya.

Langgan secara percuma penulisan babak seterusnya
masukkan email anda dan jadilah yang terawal!

Loading

Sokong Perjalanan Ini

Memandangkan ramai yang bertanya dan mahu menyumbang, setiap sumbangan anda amat membantu perjalanan projek kayuhan ini dan memastikan cerita dan penulisan akan terus mengalir.

Sokong dengan menderma melalui PayPal

Leave a Reply