Cakap memang mudah, tapi bila sampai masanya, meninggalkan orang yang tersayang tu rasa macam ada batu besar terikat kat kaki. Berat betul nak melangkah masuk ke balai pelepasan. Seawal subuh pada 7 Julai – hari bersejarah bermulanya kembara ni – aku ditemani oleh pengurus projek aku, Nabil rakan berbasikal yang aku lantik untuk bantu urusan logistik aku sewaktu kayuhan, bersama Fuad, Harith dan isterinya yang baru memenangi tiket ke Langkawi. Ada rasa sebak yang sedaya upaya aku cuba telan dan sorok dari riak wajah aku pagi tu. Tapi bila dah peluk dan bersalam buat kali terakhir, tekad dalam hati aku paku kuat-kuat. Aku tarik nafas panjang. Masa untuk jalan terus, dan tak ada istilah toleh ke belakang lagi.
Penerbangan 14 jam ke Paris tu bukan main panjang terasanya. Bukannya sebab bosan, tapi otak aku ni tak berhenti ligat berfikir. Macam-macam scenario bermain dalam kepala. Aku cuma beli tiket sehala ke Paris, aku paling nervous kalau di lapangan terbang nanti aku akan ditolak dari memasuki Paris. Tepat jam 8:15 pagi waktu tempatan, sebaik sahaja tayar pesawat bergegar mencecah landasan Charles de Gaulle (CDG), perasaan teruja tu tiba-tiba dipintas oleh rasa panik. Fikiran aku cuma fokus pada satu benda je: Basikal aku ni dah sampai dengan selamat ke tak? Kotak dia kemik tak? Ada parts yang patah ke? Dan agak-agak pegawai imigresen tanya macam-macam atau tak.
Bila bagasi dan kotak basikal muncul di ruangan conveyer bagasi bersaiz besar, barulah bermula episod azab logistik yang sebenar-benarnya. Bayangkan, dengan keadaan masih penat dari penerbangan panjang, aku kena bergerak antara terminal bawa kotak basikal yang besar gajah tu berserta barang-barang pannier yang berlambak. Terpaksa bersesak-sesak naik tren shuttle lapangan terbang. Bila dah sampai satu sudut yang agak lapang, aku tak ada pilihan lain selain buka kotak dan pasang basikal tu di tengah-tengah lapangan terbang tu jugak.
Bila basikal dah siap dipasang dan segala beg dah disangkut jadi full load, aku fikir dah boleh hela nafas lega. Rupa-rupanya, Paris nak bagi salam perkenalan. Nak keluar dari stesen tu, tak ada lif! Nak tak nak, aku terpaksa memerah segala kudrat yang ada untuk memikul basikal seberat puluhan kilo tu mendaki anak tangga. Sambil nafas tercungap-cungap, aku terpaksa pula memandu arah mencari jalan ke rumah host Warmshowers aku (Noel). Terasa sangat kekok. Nak baca papan tanda pun asyik teragak-agak, bergelut dengan perbezaan bahasa dan suasana yang mendadak berubah.
Dari mendarat jam 8:15 pagi, akhirnya jam 11:30 malam baru aku selamat tiba di depan pintu rumah Noel.
Keadaan aku masa tu? Kehausan tahap kritikal. Kesan panik campur pula dengan cuaca panas yang membahang buat tekak aku kering kontang. Bila Noel buka je pintu, benda pertama yang meluncur dari mulut aku bukannya “Bonjour”, tapi aku minta air sejuk. Dua botol air hilang sekelip mata aku teguk tanpa henti! Tapi Noel tetap cool, mujur sebab dia sebenarnya bukan lahir di Perancis, tapi lahir sebagai seorang Portugis.
Pagi Pertama di Paris & Tragedi ‘Nangka Busuk’
Malam pertama aku di Paris, Noel tumpangkan aku tidur di atas sofa di ruang tamu. Disebabkan jetlag yang masih mencengkam, jam 4 pagi mata aku dah terbeliak segar. Nak tidur balik memang tak boleh. Lepas sejam termenung merenung siling, aku buat keputusan untuk bangkit dan ‘teroka’ kawasan sekeliling.
Perkara pertama yang aku kena belajar pagi tu ialah cara nak buka dan kunci pintu rumah gaya Perancis yang agak unik dan pelik. Lepas berjaya ‘lulus’ ujian pintu, aku beranikan diri berjalan mencari kedai roti (Boulangerie) berdekatan. Berbekalkan keyakinan yang tinggi melangit dan sisa-sisa bahasa Perancis yang aku belajar sikit-sikit sebelum ni di Google Translate, aku berjaya beli sarapan.
Bila Noel dan pasangannya bangun pagi, dorang nampak sangat terkejut (dan happy) bila mereka tengok roti baguette dan Pain au Chocolat dah tersedia suam-suam atas meja. Pinggan mangkuk kotor dalam sinki malam tadi pun aku dah tolong basuhkan kilat-kilat. Benda kecil je pun, tapi yalah, adab orang menumpang di tempat orang, kan?
Hari tu Noel bekerja dari rumah, jadi aku ambil peluang ni untuk buat kayuhan solo pertama aku menuju ke Menara Eiffel. Teruja tak payah cakaplah. Misi utama nak berswafoto dan buat video untuk simpanan memori. Tapi, malang tu memang tak berbau belum sempat aku sampai di perkarangan Eiffel, ada seorang anak kecil tiba-tiba melintas laju ke arah laluan aku. Menggelabah aku cuba mengelak, dan… pap! Aku jatuh terduduk melentang macam nangka busuk. Sakitnya tu satu hal, tapi malunya tu berganda. Bayangkan penonton beribu-ribu semua tengok kau tergolek macam nangka busuk.
Kesannya, kaki aku luka, calar, dan lebam yang kesakitannya masih berdenyut-denyut masa aku menaip cerita ni.
Cuaca pula masa ni mula berubah jadi panas terik. Lepas jatuh tadi, bila aku sambung kayuh, aku rasa pertukaran gear basikal macam lari sikit. Tak sedap langsung. Aku terus gagahkan diri cari kedai basikal berdekatan. Betul tekaan aku, adjustment front derailleur lari sikit sebab impak jatuh tadi. Nasib baik pomen tu cekap dan ia dapat dibaiki segera.
Betul ke Orang Perancis Sombong?
Sebelah petangnya, Noel bawa aku berjalan-jalan pusing kawasan perumahan dia yang terletak lebih kurang 10km dari pusat bandar Paris. Malam tu, aku ada perjumpaan dengan beberapa rakan sekerja Noel di sebuah restoran yang agak tersorok tapi sangat unik.
Sambil kami rancak berborak, aku sedar satu perkara. Selama ni kita selalu disogok dengan mitos yang orang Perancis ni sombong, ada attitude, dan dingin dengan orang luar.
Realitinya? Jauh tersimpang. Diorang ni sebenarnya amat peramah bila kita berjaya pecahkan ‘tembok’ awal mereka. Kuncinya ringkas je: cuba sebut beberapa patah perkataan bahasa mereka, lemparkan senyuman, dan hormat budaya mereka. Bila mereka rasa dihargai, mereka akan layan kita macam kawan lama yang dah bertahun tak jumpa
.
Sedar tak sedar, kami lepak dari jam 6 petang meleret sampai ke 12 tengah malam. Akhirnya, badan aku sendiri yang angkat bendera putih. Mata dah berat sangat. Aku minta diri untuk pulang ke rumah Noel menaiki tren Metro. Tapi, sebab kepala dah terlampau mamai dan badan yang teramat letih, aku tersilap naik laluan tren! Menggelabah juga sesat di bawah tanah Paris tengah-tengah malam buta. Drama sungguh hari tu sebelum aku dapat merebahkan badan peluk bantal.
Menuju Melun: Haba dan Panas Terik, Perasaan Sunyi, dan Ujian Hari Jadi
Keesokan harinya, aku tinggalkan hiruk-pikuk kota Paris. Pemandangan mula beralih kepada laluan luar bandar yang lebih mendamaikan, menelusuri tepian Sungai Seine menuju ke sebuah tapak perkhemahan. Kalau ikutkan, jarak hari tu cuma 70km. Tapi masa perjalanan jadi sangat meleret. Kejap-kejap aku berhenti tangkap gambar, lepas tu gatal tangan nak terbangkan dron pula.

Bila sampai di campsite, aku sempat cuci baju. Musim panas kat Eropah kali ni memang pelik sikit – bayangkan pukul 10:30 malam baru nampak matahari terbenam (sunset). Tapi ada bagusnya juga fenomena Heat Wave yang tengah melanda ni. Baju yang aku cuci dan perah pakai tangan tu, tak sampai dua jam dah kering kontang dikerjakan bahang panas. Makan aku pula sangat ringkas; cukup sekadar buah-buahan dari pasar, makanan dalam tin, dan merasa ratatouille yang sedap dia tak terkata.
Tapi, di sebalik visual Sungai Seine yang tenang tu, sebenarnya ada perang emosi yang sedang hebat bergelora dalam diri aku.
Dalam perjalanan menuju ke Melun, aku ambil keputusan untuk berhenti rehat di sebuah dek kayu di tepi sungai. Niat asal aku cuma satu: nak ambil sikit masa untuk diri sendiri (me time) menyambut hari jadi aku, bersendirian. Dalam kesunyian tu, aku capai telefon dan hubungi ayah di kampung.
Masa mula-mula dengar suara ayah, aku cuba berlagak biasa. Tapi sambil bersembang tu, jujur aku cakap, perasaan sedih, rindu, dan lonely tu datang menghempas dada tanpa amaran.
Menyambut hari lahir beribu-ribu batu jauhnya dari keluarga, duduk seorang diri di tepi sungai asing, dengan keadaan fizikal yang dah lunyai… ia betul-betul mengoyakkan mental aku hari tu. Cuaca yang luar biasa panas pula seolah-olah sengaja nak memburukkan keadaan. Haba yang membakar tu buat aku jadi sangat agitated dan gelisah, rimas, dan otak langsung tak boleh nak berfikir dengan waras. Kemuncaknya, hidung aku tiba-tiba berdarah akibat dehidrasi yang agak melampau.
Orang kata, bila badan dah terlampau letih dan kepala tengah mendidih, emosi kita ibarat diletak di hujung tanduk. Sentuh sikit je boleh meletup. Dan itulah yang terjadi. Entah macam mana, ada sedikit kekeliruan dan kesilapan teknikal pasal jadual tren. Siapa yang jadi mangsa amukan aku? Nabil. Dia yang berada berbelas ribu kilometer jauh di Malaysia tu aku termarah teruk, hanya disebabkan perkara kecil yang aku sendiri gagal nak hadam dengan rasionalnya.
Insiden ‘koyak’ pasal jadual tren tulah yang akhirnya buat aku ubah perancangan dan terus cari tempat menginap segera di Melun. Aku sedar, aku dah tak boleh teruskan kayuhan dalam keadaan mental dan fizikal macam tu dek kerana situasi cuaca panas, kepenatan dan kelaparan.
Sesampainya di Melun, aku berjaya dapatkan bilik di sebuah hostel yang diuruskan oleh sebuah keluarga kecil dari Guinea. Rumahnya tak besar, tapi kemas dan sangat cantik. Cuma satu hal je, cuaca dalam bilik tu amatlah berbahang. Waktu tu, barulah aku rasa bersyukur teramat sangat sebab tergerak hati nak bawa kipas rechargeable kecil yang aku beli dari Mr. DIY. Benda tu betul-betul jadi penyelamat nyawa malam tu!
Bila dah lalui semua ni, barulah aku faham betapa benarnya pesan orang tua-tua: jangan sesekali buat keputusan atau melenting bila perut tengah lapar dan badan tengah letih. Lepas aku dapat melangkah masuk bilik, mandi air sejuk bersihkan diri, isi perut sikit, dan baring meluruskan urat saraf, barulah otak aku mula berfungsi balik macam manusia normal. Haha! Aku sempat pesan Nabil, untuk jadi lebih teliti sebab semua ni boleh menentukan kayuhan ni jadi kayuhan yang baik atau disaster.
Hati yang panas tadi beransur sejuk. Barulah semuanya kembali okay. Mood aku yang sedikit marah tadi dapat aku jernihkan semula dan rancang balik dengan akal yang waras. Aku mohon maaf pada dia. Sebab itulah aku perlukan Project Manager yang thorough and decisive. Aku cakap pada Nabil, hari ini dia belajar sesuatu yang besar iaitu untuk jadi lebih teliti dan a few step ahead.
Malam tu, sambil mata makin layu dihembus angin kipas Mr. DIY, aku berbisik pada diri sendiri. Hari ni memang perit, tapi esok adalah hari baru. Roda ini mesti terus berputar.
Kalau korang nak tengok gambar-gambar dan video, head over ke Instagram aku ok?



