Jika pada penulisan lepas, aku telah kongsikan apa yang menjadi penyebab kepada aku memilih untuk memulakan perjalanan kayuhan solo ni, untuk penulisan kali ini aku akan bercerita sedikit tentang persiapan, ketidaktentuan serta cabaran-cabaran awal. Sebab aku rasa aku perlu bertanggungjawab, sebab aku takut orang lihat pilihan aku untuk memulakan kayuhan solo ni jadi seperti (once in a lifetime things to do) untuk semua orang. Aku kena berterus-terang dan jujur yang aku sendiri pun masih rasa ragu-ragu.
Kalau kita scroll di Instagram atau Youtube, aku yakin kita semua akan disajikan dengan bahagian-bahagian yang best sahaja tentang trend Bikepacking ni. Video-video dan gambar mereka khemah tepi tasik dengan matahari terbit, trend hirup kopi yang masih berasap di sebelah basikal, dan bukit dengan salji, jalan raya kosong yang nampak tenang. Tapi selepas aku sendiri memulakan langkah mempersiap diri, aku mula perasan yang tak semua yang kita tengok tu berlaku semudah ABC. Betul, ada je yang pernah berbuat perkara sama berikan keyakinan yang sebenarnya Bikepacking ni senang – “ada basikal, boleh je mula.” Tapi realitinya, ia tak semudah itu untuk situasi aku, kena fikir komitmen, wang, stamina dan macam-macam lagi.
Tanggungjawab Yang Belum Selesai
Realitinya, aku masih lagi bekerja dan dalam tempoh notice period untuk menamatkan perkhidmatan aku sebagai pekerja di sebuah syarikat di KL. Perkara pertama yang aku kena hadap ialah proses mencari pengganti dan memastikan kesinambungan bisnes itu sendiri berjalan lancar. Aku kena mula mencari pengganti, menapis calon-calon untuk ditemuduga, tapi entah kenapa walaupun dah 3 bulan mencari, aku masih belum jumpa calon yang benar-benar sesuai.
Aku pun taknak berhenti dengan cara yang mendadak dan drastik. Aku kena adil dengan mereka. Kalau orang lain, aku yakin diorang akan gunakan masa yang ada untuk habiskan semua cuti dan kelayakan yang berbaki. Tapi pendirian aku berbeza; buat apa aku putuskan hubungan baik yang sedia ada semata-mata kerana aku pilih untuk berkelana? Namun, menguruskan urusan handover kerja yang tak kunjung selesai ini rupa-rupanya membuka satu lagi lembaran cabaran yang tak diduga.
Fizikal Mula ‘Menyerah Kalah’
Pertama sekali, semestinya soal fizikal. Menyedari yang kayuhan ini bukan sekadar kayuhan petang-petang ambil angin di taman, aku mula memaksa diri untuk melakukan latihan-latihan kayuhan secara last minute. Asal ada ruang masa yang sempat, aku redah. Aku cuba kayuh dari rumah ke Air Terjun, aku kayuh dari Kuantan ke Pekan dan Mersing. Aku kayuh dari Tiroi ke Pantai di Seremban dan berkayuh di jalanraya Pantai-Temiang dan yang paling ekstrem, aku bawa basikal dari Nilai terus ke Kuala Terengganu dan kayuh non-stop sejauh 180KM sampai ke Kota Bharu dengan full load. Tujuannya cuma satu – untuk membina kembali stamina yang dah lama ‘tidur’. Pada masa yang sama, basikal yang bakal menjadi peneman setia sepanjang kembara ini perlu dibelek, diservis, dan dipastikan benar-benar bersedia untuk menampung berat bebanan dan jarak berbatu-batu jauhnya.

2 pagi, demam panas dan terus ke kecemasan, kaki pun boleh nampak masih rentung and appear dehydrated
Mungkin disebabkan tekanan dan being too hard on myself menguruskan proses di pejabat, ditambah pula dengan latihan fizikal yang mendadak, tubuh aku akhirnya ‘menyerah kalah’. Setelah sekian lama tidak ditimpa sakit, aku tiba-tiba diserang demam yang agak teruk. Betul orang kata, bila minda terlalu sarat memikirkan macam-macam perkara, badan yang akan menanggung akibatnya.
Realiti Dana & Kompromi Prinsip
Persiapan fizikal dan teknikal baru sebahagian daripada cerita. Cabaran terbesar yang sentiasa bermain di minda adalah isu klasik: sumber kewangan.
Realitinya, dana aku sangat terhad. Demi merealisasikan impian memulakan perjalanan solo ini, aku mengambil keputusan besar untuk menjual sebidang tanah yang aku pernah beli sewaktu berusia 24 tahun dan menggabungkan hasil jualan tersebut dengan baki duit simpanan yang ada. Walaupun keputusan sudah dibuat, aku tak boleh lari dari realiti sebagai seorang manusia, aku akan tetap berasa risau, takut dan sangsi.
aku mengambil keputusan besar untuk menjual sebidang tanah yang aku pernah beli sewaktu berusia 24 tahun dan menggabungkan hasil jualan tersebut dengan baki duit simpanan yang ada.
Dalam kepala aku sekarang aku mula takut – “Cukup ke tidak duit tu nanti?” Ketidaktentuan itu kadangkala agak membebankan dan beri sedikit anxiety, memandangkan aku tidak tahu apa yang menanti di hadapan sepanjang kembara. Bila aku stuck, aku tak fikir panjang dan terus cari masa untuk jumpa mereka yang pernah lakukan kayuhan hampir sama, tak lain tak bukan: Amir Arsad, Aqil Misnan dan Ariyami.
(Nota kecil: Aku baru perasan lepas senaraikan nama diorang semua ni, nama-namanya ada huruf “A” di depan, haha!)
Aku rasa aku jumpa Amir Arsad hampir 3 kali, bila aku mula rasa stuck nak pilih laluan, fikirkan aspek risiko dan keselamatan dan macam-macam lagi. Apapun aku bersyukur kedua dua mereka sudi berjumpa 1 on 1 dan berikan aku sedikit kata-kata semangat dan jawapan. Kenapa aku pilih tiga orang mentor berbeza untuk membantu aku merungkai apa yang aku perlu tahu dan persiapkan. Kalau Amir Arsad, dia lebih mahir dengan selok belok negara Eropah dan Balkans, Kalau Aqil Misnan, dia lebih berpengalaman dengan dokumentasi dan penceritaan serta perkara-perkara ketuhanan. Dan kalau Ariyami pula, lebih kepada azam dan tekad boleh mengatasi kekurangan kewangan. Aku amat berterima kasih kepada mereka bertiga ni, semoga tuhan berikan kemudahan dan membalas jasa baik mereka semua.

‘Lejen’ kayuhan Eropah ke Malaysia, Amir Arsad di kafenya di Arked Mara Kajang, Kayte Coffee

Aqil Misnan, pernah kayuh basikal dari Malaysia ke Mekah dan sekarang tengah dalam misi Solo Ride (bermotor ke Eropah)

Ariyami sebelum ni aku kenal waktu dia di Malaysia ketika kayuhan dari Indonesia ke Mekah, kali ni dia pun sedang dalam misi kayuhan ke Sepanyol
Di saat aku sedang bertarung dengan demam dan debar fasa persiapan, takdir membawa satu kejutan. Pihak majikan tiba-tiba mengemukakan satu tawaran yang langsung tidak diduga – mereka memberikan aku pilihan untuk bertukar status menjadi vendor kepada syarikat selepas aku berhenti nanti.
Ironinya, jika diikutkan prinsip awal sebelum ini, aku memang awal-awal lagi dah pangkah pilihan untuk mengambil cuti tanpa gaji (sabbatical). Pendirian aku waktu itu mudah; kalau nak pergi berkelana, biarlah putus terus komitmennya supaya minda ini betul-betul lapang tanpa memikirkan baki urusan pejabat. Aku mahukan satu titik penamat yang jelas. Re-invest and cari diri aku.
Namun, belum pun mula kayuh, aku sedar yang realiti hidup kadangkala memaksa kita untuk menjadi lebih fleksibel dengan prinsip sendiri.
Melihatkan usaha pencarian calon pengganti yang masih menemui jalan buntu walaupun kontrak sudah menghampiri garisan penamat, aku mula sedar yang aku tidak boleh mementingkan diri sendiri. Akhirnya, memandangkan calon yang sesuai masih belum menjelma dan tawaran daripada majikan pula sentiasa terbuka, aku menurunkan sedikit ego prinsip lama. Aku akur dan terima juga pilihan untuk bekerja bersama mereka sebagai vendor.
Ia bukanlah satu kekalahan, tetapi satu kompromi terbaik demi menjaga hubungan yang telah lama terbina, sekaligus memberikan aku sedikit ‘jaring keselamatan’ sekiranya fasa ketidaktentuan kewangan pasca-kayuhan ini tiba nanti.
Dua Minggu Terakhir: Perang Mental
Dengan segala teka-teki kerja yang akhirnya terjawab melalui relationship sebagai seorang vendor untuk company itu nanti, fokus aku kini kembali sepenuhnya kepada persediaan terakhir. Logiknya, bila satu per satu urusan kerja dah selesai, hati patut rasa lebih tenang dan lapang. Tapi realitinya? Jauh panggang dari api.
Sekarang, garis masa cuma tinggal dua minggu sahaja lagi sebelum kayuhan solo ini bermula. Dan dalam tempoh yang berbaki inilah, emosi aku mula diuji dengan fasa yang paling parah.
Semakin dekat tarikh berlepas, dada aku rasa makin berdebar. Rasa teruja yang meluap-luap pada awalnya kini perlahan-lahan diganti dengan satu perasaan goyah yang sukar untuk ditepis. Di sebalik persiapan fizikal dan logistik yang nampak macam dah sedia, malam-malam aku mula diganggu dengan rasa sangsi pada diri sendiri.
“Betul ke apa aku nak buat ni?”
“Mampu ke aku nak hadap jalan jauh sorang-sorang nanti?”
“Kalau jadi apa-apa di tengah jalan, macam mana?”
Segala persoalan tentang ketidaktentuan – yang sebelum ini aku cuba pandang remeh – kini datang menyerang serentak membentuk anxiety baru. Rupa-rupanya, melepaskan zon selesa yang dah bertahun kita bina bukanlah sesuatu yang mudah, walaupun untuk mengejar sebuah impian. Rasa takut dan ragu-ragu itu sangat nyata. Namun, aku tahu ini adalah fasa ‘perang mental’ yang perlu aku lalui. Setiap pengembara pasti pernah duduk di titik rapuh yang sama sebelum mereka melangkah keluar dari pintu rumah. Dua minggu ini bukan lagi tentang mempersiap basikal atau menambah stamina, tetapi tentang bagaimana aku mahu menjinakkan badai dalam hati sendiri.
Sama ada aku sedia atau tidak, masa tetap berjalan, dan kayuhan ini tetap akan bermula.
Minggu hadapan aku akan pulang ke kampung dan berbaki dengan beberapa urusan peribadi yang aku perlu selesaikan.
Kereta aku perlu aku hantar ke kampung dan minta dijaga oleh ayah yang sekarang kesorangan selepas kehilangan cinta hatinya. Aku juga dah rancang awal dan meminta adik beradik aku untuk berkumpul untuk majlis farewell sebelum aku berkelana nanti.
Ayah aku pun setuju untuk menjadi orang yang bertanggungjawab untuk merasmikan upacara Flag Off (Majlis Pelepasan) sebab bagi aku, penting untuk mendapat sokongan ahli keluarga dan sokongan dari sosok seorang ayah. Sama-sama kita nantikan dan doakan semuanya berjalan lancar. Dan kepada korang, aku pohon juga bantuan untuk doakan yang terbaik untuk kembara kali ini.
Dan untuk itu aku lancarkan pertandingan Wheels & Will Giveaway yang korang boleh sertai di sini.
Jujur aku rasakan yang kalian semua juga boleh menjadi sebahagian dari titik tolak perjalanan ni nanti dan untuk itu korang perlu bantu aku untuk pilih laluan mana aku patut lakukan setibanya di Kota Paris nanti.


