Partnership & Project Inquiries:
Project Manager: Nabil
Mobile: +6013-522 9210
Identiti, Kelengkapan Jalanan, dan Kehangatan dalam Simfoni Sunyi
01
Perisai Batik Arwah Ibu: Jarak, Memori, dan Jalan Kembali ke Akar Umbi
Tersemat di tengah-tengah bingkai basikal saya, sebuah beg yang diperbuat daripada kain batik arwah ibu saya menjadi peneman. Ia lebih daripada sekadar sebuah gear; ia adalah sebahagian daripada perisainya, sebuah fragmen nyata dari rumah yang mengembara merentasi benua bersama saya.
Harapnya, setiap kali jalanan menjadi semakin perit bolehlah saya memandang ke bawah, saya akan sentiasa diingatkan tentang susun galur diri wanita itu, kekuatannya, semangatnya dan cinta yang pernah dia selimutkan kepada diri ini. Saya tahu, saya tidak pernah benar-benar bersendirian di dalam kayuhan ini.
02
Meruntuhkan Metrik: Kembara dengan Basikal Marhaen
Saban waktu, dunia sering mendoktrin saya bahawa sebuah kembara merentasi benua menuntut gajet yang elit, gear yang mahal, dan tajaan jenama-jenama besar. Namun, saya memilih untuk meruntuhkan metrik itu. Saya memilih untuk melanggar kebiasaan dengan menunggang sebuah basikal hybrid gravel paling murah dan paling asas yang boleh ditemui di pasaran.
Tiada apa yang mewah pada jentera ini. Ia dibina sepenuhnya daripada komponen biasa yang boleh dibeli di kedai-kedai runcit basikal biasa. Jentera kerdil ini adalah sebuah saksi hidup — bahawa jalanan yang bakal dilalui kelak tidak pernah peduli akan tanda harga pada alatan yang kita bawa. Yang dicari oleh jalanan bukanlah kemewahan besi, melainkan ketabahan sekeping hati.
03
13 Tahun Kehangatan yang Abadi
Adam, kucing kesayangan saya, adalah sumber kehangatan dan lentera memori indah yang paling setia dalam hidup, sebelum dia pergi buat selamanya — tepat dua minggu sebelum pemergian arwah ibu. Kini, patung mainan red pandakegemarannya mendapat tempat kekal, “menumpang secara percuma” tepat di atas bar pemegang basikal saya.
Melihat red panda kecil itu duduk tegak di situ meredah tamparan angin jalanan, ia mengalirkan semula sebuah keselesaan yang paling murni; mengembalikan setiap detik daripada 13 tahun kehangatan yang pernah kami lalui bersama. Bersamanya di situ, sekeping hati ini tahu, perjalanan ini tidak pernah sunyi.